mutakhir

Cubaan seludup 245 pokok hiasan gagal

Oleh Nurul Amanina Suhaini

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menyekat cubaan membawa keluar 245 pokok hiasan tanpa permit eksport di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), di Johor Bahru, pagi ini.

Pengarah MAQIS Johor, Nur Afifah A Rahman, berkata pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah lori di laluan lori eksport KSAB, kira-kira 9 pagi.

"Hasil pemeriksaan, terdapat tujuh jenis pokok hiasan berlainan spesies antaranya Spider Lily, Cordyline, Baphia Nitida dan lain-lain yang cuba dibawa keluar dari negara.

"Kesemua 245 pokok hiasan terbabit dipercayai dibawa keluar untuk pasaran Singapura.

"Ia dianggarkan bernilai RM2,430 dan ditahan kerana tiada sebarang dokumen yang sah seperti Permit Eksport MAQIS dan sijil fitosanitasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perbuatan mengeksport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa permit eksport yang sah daripada Jabatan MAQIS adalah menjadi suatu kesalahan mengikut Seksyen 11(2) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) Akta yang sama.

"Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

"MAQIS sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan undang-undang dan akan terus diperkasakan lagi di semua pintu masuk negara bagi memastikan kawalan penyakit ikan, haiwan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara," katanya.

Disiarkan pada: August 31, 2020 @ 8:29pm
d