mutakhir

Perintah berkurung ESSZONE dilanjut hingga 17 September

Oleh Juwan Riduan

PERINTAH berkurung di perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang berakhir esok, dilanjutkan sehingga 17 September ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, perintah berkurung itu meliputi perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Katanya, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dilarang menghampiri atau berada di kawasan diisytihar antara 6 petang hingga 6 pagi.

"Perintah ini diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas dan mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan serta pelancong di pulau peranginan itu.

"Maklumat mendedahkan kumpulan yang menjalankan kegiatan 'Kidnapping For Ransom' (KFR) dan kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh ke kawasan ini untuk melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan lain," katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu, hari ini.

Hazani berkata, perintah berkurung itu juga bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan rakyat berada di kawasan daratan ESSZONE.

Katanya, ia juga akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

"Saya turut memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZONE bagi mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung itu," katanya.

Disiarkan pada: September 1, 2020 @ 3:41pm
d