mutakhir

Padah tangkap ikan guna pukat rawa sorong

Oleh Zuhainy Zulkiffli

SEBUAH bot bersama tiga nelayan ditahan di kedudukan 1.4 batu nautika barat laut Pulau Sayak dekat Georgetown kerana menangkap ikan menggunakan pukat rawa sorong, hari ini.

Mereka ditahan oleh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang yang menjalankan pemantauan menerusi Op Benteng pada 4 pagi.

Pengarah APMM Pulau Pinang Kepten Hamizan Harun berkata, pemeriksaan mendapati bot berkenaan dinaiki oleh tiga lelaki iaitu seorang tekong dan dua awak-awak.

Katanya, kesemua nelayan tempatan itu berusia antara 23 hingga 44 tahun.

"Mereka menggunakan pukat rawa sorong bagi menangkap ikan dan ia menjadi kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1980.

"Kesalahan juga disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat tanpa lesen yang sah," katanya.

Menurutnya, APMM tidak akan berkompromi terhadap pihak yang melanggar undang-undang di perairan.

Katanya, orang ramai boleh menyalurkan aduan atau kecemasan di laut menerusi talian 24 jam iaitu MERS 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang, 04-2626146 atau 04-2643650.

Disiarkan pada: September 1, 2020 @ 4:01pm
d