mutakhir

PRN Sabah: Bersatu tentukan jumlah kerusi minggu ini

Oleh BERNAMA

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah akan memutuskan jumlah sebenar kerusi yang akan ditandinginya dalam Pilihan Raya Negeri pada 26 September ini, sebelum akhir minggu ini.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pihaknya masih ada masa untuk menentukan tarikh.

"Kita masih ada masa lagi, tarikh 12 September (penamaan calon) lama lagi," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis ramah mesra bersama pemimpin dan jentera Bersatu Kalabakan di Tawau.

Pada 1 Ogos, Hajiji dilaporkan berkata Bersatu Sabah mahu bertanding di 45 kerusi Dewan Undangan Negeri di Sabah.

Katanya, Bersatu berhasrat meletakkan calon di dua kerusi DUN dalam Parlimen Kalabakan.

Beliau berharap tidak berlaku pertembungan kerusi antara rakan sekutu bagi mewujudkan peluang lebih baik bagi gabungan Perikatan Nasional memenangi PRN Sabah.

"Saranan saya, kita perlu sokong antara satu sama lain, Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan rakan sekutu kita mesti bersatu hati," katanya.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Disiarkan pada: September 1, 2020 @ 5:24pm
d