mutakhir

Kerajaan Pahang tetap bertegas terhadap pekebun haram Musang King

Oleh Asrol Awang

KERAJAAN Pahang mengulangi komitmen bertindak tegas ke atas tanah yang diusahakan secara haram oleh pekebun durian Musang King di Raub yang kini tertangguh ekoran keputusan Mahkamah Tinggi, baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak berhasrat untuk menindas pekebun terbabit.

Sebaliknya, katanya, ia sekadar bertindak sebagaimana dibenarkan oleh undang-undang dan pekebun sewajarnya menjadi warga yang patuh undang-undang dengan mengosongkan tanah kerajaan yang mereka duduki secara haram selama ini.

"Oleh itu, kerajaan negeri berharap kerjasama dapat diberikan oleh semua pihak terutama dalam kalangan pekebun haram berkaitan penanaman durian Musang King di Raub," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Rosdy berkata, pada 28 Ogos lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Datuk Zainal Azman Ab Aziz membenarkan agar pendengaran permohonan kebenaran oleh 111 pekebun haram di Raub bagi semakan kehakiman untuk membatalkan notis pengosongan tanah.

Katanya, ia membabitkan kebun-kebun berkenaan yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Raub dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, ditangguhkan sehingga 28 Oktober 2020.

"Sehingga permohonan itu didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi, Kerajaan Pahang terpaksa menangguhkan buat sementara semua tindakan bagi menguatkuasakan notis pengosongan berkenaan," katanya.

Pada 1 Ogos lalu, Kerajaan Pahang mula bertindak tegas dalam menangani kegiatan pengusaha kebun durian di Raub yang diusahakan secara haram di atas tanah kerajaan negeri.

Tindakan itu dilakukan berikutan kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah dari kebun haram termasuk di kawasan hutan simpan.

Antara kawasan dusun durian di Raub yang terbabit ialah Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras.

Disiarkan pada: September 1, 2020 @ 5:38pm
d