mutakhir

Terjun dari ketinggian 10,000 kaki jumpa isteri

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad

PENGAWAL keselamatan menampilkan keunikan bagi meraikan majlis persandingannya apabila melakukan terjunan bebas dari ketinggian 10,000 kaki sebelum menemui isterinya di Lapangan Terbang Tekah, Taiping, Sabtu lalu.

Malah, Mohd Akmal Jamal, 35, yang juga bekas anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL) berpangkat Laskar Kelas 1 turut mengenakan pakaian pengantin sewaktu melakukan terjunan bersejarah itu.

Mohd Akmal berkata, terjunan itu bukan dirancang, tetapi dibuat secara mengejut selepas mengadakan perbincangan dan mendapat persetujuan pihak keluarga serta penganjur.

"Pada mulanya, saya menyertai program terjunan Merdeka Jump 2020 ini bagi menghargai pengorbanan barisan hadapan melawan penularan wabak Covid-19 selain memupuk semangat patriotik pada hadirin yang menyaksikannya.

"Namun, menyedari tarikh perkahwinan saya dan isteri, Nurul Nadia Mohamad Hazli, 33, jatuh pada tiga hari (29, 30 dan 31 Ogos) itu ditambah pula lokasi terjunan berhampiran dengan rumah isteri iaitu di Assam Kumbang, menyebabkan saya memutuskan untuk mencari sedikit kelainan.

"Hasil perbincangan dengan isteri, kedua-dua belah keluarga dan pihak pengurusan program, Alhamdulillah permintaan saya dipersetujui," katanya dihubungi, hari ini.

Mohd Akmal juga adalah salah seorang daripada 128 peserta Merdeka Jump 2020 anjuran AFJets Skydive Club.

Menurutnya, pada peringkat awal, pihak keluarga agak keberatan untuk mengizinkannya melakukan terjunan itu kerana bimbang soal keselamatan selain faktor cuaca yang tidak menentu.

Katanya, mereka termasuk pihak pengurusan kemudian bersetuju tetapi meminta niatnya dibatalkan jika keadaan cuaca tidak menentu.

"Pada 6.20 petang (Sabtu lalu) saya mula melakukan terjunan dari ketinggian 10,000 kaki dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Tekah pada 6.30 petang dengan disambut isteri dan ahli keluarga.

"Walaupun terjunan itu selamat, namun kerisauan sewaktu terjun itu tetap ada, tapi Alhamdulillah berkat pengalaman dan latihan selain sokongan isteri yang juga seorang penerjun, saya berjaya mendarat dengan jaya tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya.

Detik bersejarah buat pasangan itu disaksikan lebih 200 penonton dan ahli keluarga, malah rakaman video mereka turut tular di laman sosial.

Disiarkan pada: September 1, 2020 @ 5:53pm
d