mutakhir

Terima kasih MPAG

Oleh Hassan Omar

PENIAGA dan pengunjung di Medan Selera Pengkalan Balak, di Alor Gajah, Melaka, kini sudah boleh menarik nafas lega apabila masalah kerosakan bumbung akibat dilanda ribut yang dialami sejak tiga bulan lalu sudah selesai.

Ia berikutan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) sudah memasang bumbung baru bagi menyelesaikan masalah itu hari ini

Peniaga, Alias Ahmad, 57, berkata pihaknya berterima kasih kepada MPAG kerana prihatin terhadap aduan yang dikemukakannya dan peniaga lain.

Menurutnya, sejak bumbung bangunan milik MPAG itu rosak, dia terpaksa meletakkan hidangan lauk pauk jauh dari gerainya.

"Apabila hujan, ia akan membasahi siling gerai dan menitis ke meja pelanggan sehingga mereka terpaksa menggunakan payung untuk mengelakkan kena tempias.

"Alhamdulillah, saya harap selepas ini tiada lagi pelanggan di gerai saya terpaksa makan dengan menggunakan payung untuk mengelak terkena titisan hujan dan tempias.

"Saya harap bumbung baru yang dipasang mampu bertahan lama dan memberikan perlindungan yang lebih baik untuk pelanggan," katanya ketika ditemui di medan selera berkenaan hari ini.

Medan selera berkenaan terletak kira-kira 10 meter dari pantai peranginan Pengkalan Balak yang menerima kunjungan ramai pelancong, terutama pada hujung minggu, sekali gus menjadikannya sebagai bangunan yang terdedah kepada angin kencang.

Disiarkan pada: September 1, 2020 @ 5:56pm
d