mutakhir

Hobi hasil kostum berbaloi

Oleh Redzuan Muharam

SIAPA sangka hobi menghasilkan kostum memberi pulangan lumayan kepada Syarulhafiz Abu Samah sejak dua tahun lalu.

Minat pemuda berusia 39 tahun itu tidak sia-sia kerana bakatnya pernah mendapat perhatian hingga menjuarai pertandingan Costume Heroes pada tahun lalu anjuran sebuah platform penstriman.

Syarulhafiz yang menetap di Senai, Johor berkata, kemahiran menghasilkan kostum dipelajarinya sejak 2016 sewaktu bekerja dalam bidang teknologi maklumat di sebuah syarikat.

Katanya, minat itu tercetus selepas melihat perkongsian tutorial seorang pembuat kostum di Youtube dan bertitik tolak daripada situ, dia mula mempelajarinya sendiri.

"Saya tiada asas dalam pembuatan kostum tetapi belajar sendiri dengan menonton video tutorial pembuat kostum luar negara di Youtube.

"Banyak percubaan dilakukan dan pada awalnya, saya hanya menggunakan kotak terpakai dan botol air saja manakala karakter pertama dihasilkan adalah Darth Vader daripada filem Star Wars.

"Lama kelamaan, saya semakin serius dengan hobi ini dan bergiat aktif setahun kemudian dengan menaik taraf bahan digunakan daripada kotak kepada 'fiber foam' dan kini menggunakan 'eva foam' berkualiti tinggi," katanya.

Menurutnya, penghasilan kostum bukan hanya memerlukan kesabaran dan ketelitian tinggi tetapi juga wang yang bukan sedikit bagi menghasilkan output berkualiti.

Disebabkan minat, dia sanggup membelanjakan sebahagian wang daripada pendapatan bulanan diterima untuk membeli bahan bagi menghasilkan sesuatu kostum.

"Selain 'eva foam' saya perlu membeli cat pewarna untuk menghasilkan sesuatu kostum. Saya perlu membuat eksperimen dulu untuk mendapatkan warna yang tepat atau hampir sama seperti karakter yang dimahukan.

"Di samping wang hasil pendapatan, keuntungan diterima daripada kostum ditempah pelanggan akan digunakan untuk membeli bahan mentah. Boleh dikatakan, hampir setiap bulan saya membeli cat untuk menguji warna yang bersesuaian," katanya.

Syarulhafiz berkata, setiap kostum mengambil masa yang berbeza untuk dihasilkan dan kesukarannya tidak sama dengan satu sama lain kerana bergantung dengan perinciannya.

Katanya, kostum paling lama dihasilkannya RoboCop yang mengambil masa tiga bulan kerana terikat dengan kerja pada hari biasa dan hanya mempunyai waktu pada hujung minggu untuk menyiapkannya.

"Kebiasaannya, saya luangkan masa untuk menyambung kerja menghasilkan kostum selepas waktu bekerja. Ia sudah jadi seperti satu rutin dan rasa janggal jika tidak melakukannya.

"Lagipun, ada yang perlu disiapkan pada waktunya kerana sudah ditempah oleh pelanggan dan upah dikenakan antara RM500 hingga RM1,000 bagi satu set kostum berperisai.

"Kepuasan saya ialah apabila dapat menghasilkan kostum karakter terkenal yang selama ini hanya ditonton di dalam filem seperti dimahukan" katanya.

Syarulhafiz berkata, buat masa ini, dia tidak pernah jemu untuk menghasilkan kostum kerana menganggap banyak peluang untuk menyumbang kepada masyarakat menerusi hobinya itu.

Disiarkan pada: September 1, 2020 @ 8:22pm
d