mutakhir

JKM bantu keluarga Nur Hana

Oleh Omar Ahmad

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memberikan bantuan kewangan secara bulanan kepada keluarga Nur Hana Ismail, 27 yang hilang ingatan selepas kemalangan jalan raya pada 8 Ogos lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Zaiton Ismail berkata, bantuan itu diberi mengambil kira keperluan empat anak-anak keluarga itu yang berusia 7,5, 3 dan setahun.

Katanya, keluarga ini juga layak kerana ketua keluarga mereka, Imam Baydowi Sumardi, 32 yang bekerja sebagai penghantar barang tidak lagi bekerja kerana memberi tumpuan menjaga isteri dan anak-anak.

"Bulan ini JKM akan memberi sumbangan RM300 bagi keperluan keluarga ini, JKM juga akan menyalurkan bantuan secara bulanan sebanyak RM400 bagi membantu keluarga ini terutama anak-anak mereka.

"Saya bersimpati dengan nasib mereka, saya juga sudah berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Tosrin Jarvanthi untuk melihat bantuan yang sesuai diberi pihak Majlis Agama Islam negeri Johor (MAINJ) bagi meringankan bebanan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat keluarga Nur Hana di kediamannya di Taman Damai Jaya, di Johor Bahru.

Nur Hana yang kemalangan bersama suaminya, mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala sehingga menyebabkan sebahagian tempurung kepala ditanggalkan akibat pendarahan dalam kepala.

Selain bersifat agresif, keadaan itu menyebabkan ibu muda ini hilang ingatan termasuk tidak mampu mengingat suami, anak-anak dan ibunya.

Berita berkaitan

Isteri hilang ingatan, bertukar agresif selepas kemalangan [METROTV]

Disiarkan pada: September 2, 2020 @ 10:10am
d