mutakhir

Bekas peserta nyanyian realiti TV antara ditahan ketika berhibur [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

SERAMAI 23 individu termasuk seorang bekas peserta pertandingan nyanyian realiti TV ditahan ketika sedang berhibur di sebuah restoran di Tanjong Chat, Kota Bharu, malam tadi.

Dalam serbuan pada 11.20 malam itu, majoriti pengunjung yang rata-ratanya warga emas sedang berhibur dalam pertandingan nyanyian karaoke dipercayai dianjurkan sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Penyanyi yang berusia 35 tahun itu dipercayai dilantik sebagai juri bagi pertandingan yang membabitkan beberapa kategori termasuk Persembahan Terbaik, Vokal Terbaik, Ratu Gedik dan Ratu Dangdut.

Serbuan dibuat oleh anggota dan pegawai dari cawangan Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) sempena Op Noda Khas Bersepadu.

Seorang pengunjung yang juga wanita warga emas berusia 60 tahun dan enggan dikenali berkata, dia hanya singgah ke majlis itu bagi memeriahkan suasana di samping memenuhi jemputan.

"Saya baharu pulang dari masjid dan hanya singgah untuk meraikan sambutan Hari Kemerdekaan yang dianjurkan.

"Saya hanya memenuhi jemputan, tidak sangka ia satu kesalahan dan akhirnya memakan diri," katanya.

Dalam serbuan yang diketuai Pegawai Operasi D7 IPK Kelantan, Inspektor Muhamad Farid Abu Othman itu, seramai 11 lelaki dan 12 wanita yang berusia antara 30 hingga 65 tahun ditahan.

Program itu turut 'diserikan' dengan empat wanita yang berpakaian mencolok mata dipercayai peserta pertandingan Ratu Gedik dan Ratu Dangdut.

Menurut Setiausaha MPKB-BRI, Mohd Hariff Ghazali, penganjur yang berusia 65 tahun merangkap pemilik premis turut ditahan atas kesalahan menganjur aktiviti pertandingan karaoke tanpa lesen.

"Sebanyak 18 jenis peralatan karaoke dirampas dan semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk tindakan lanjut.

"Mereka dikompaun di bawah Peraturan 10 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan boleh dihukum mengikut Peraturan 11(1) di bawah peraturan yang sama," katanya.

Disiarkan pada: September 2, 2020 @ 10:32am
d