mutakhir

Pegawai polis mengaku tidak bersalah pecah amanah [METROTV]

Oleh Balqis Jazimah Zahari

SEORANG pegawai polis berpangkat Inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini, atas pertuduhan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM190,721 enam tahun lalu.

Tertuduh, Sahrol Zaman Mohd Adom, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Mengikut kertas pertuduhan, Sahrol yang bertugas sebagai Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh didakwa melakukan pecah amanah harta membabitkan barang rampasan bersabit kes di Simpang Pulai.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat stor barang kes IPD Ipoh pada 11 April 2014 dan dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Farhana Hashim manakala tertuduh diwakili peguam bela Muhamad Aizat Fakri.

Terdahulu, Farhana meminta wang jaminan sebanyak RM20,000, manakala Muhamad Aizat memohon wang jaminan dikurangkan kepada RM5,000 dengan alasan tertuduh perlu menanggung dua anak kembar berusia 12 tahun.

Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh membayar wang jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri setiap 1 hari bulan di balai polis berhampiran.

Mahkamah turut menetapkan 25 September ini untuk tarikh sebutan semula kes.

Disiarkan pada: September 2, 2020 @ 12:35pm
d