mutakhir

Senarai hitam lesen perniagaan 'penyamaran' kendali perjudian [METROTV]

Oleh Omar Ahmad

PIHAK Berkuasa Tempatan (PBT) diminta menyenarai hitam lesen pemilik perniagaan yang membuat penyamaran di sebalik perniagaan mereka untuk menjalankan kegiatan perjudian haram.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Maydin Pitchay berkata, kebanyakan modus operandi yang digunakan premis ini adalah penyamaran di sebalik papan tanda kedai.

Katanya, ada di antara premis ini yang menyamar ini menjalankan perniagaan restoran makanan, kedai serbaneka, kedai buku dan kedai alat telekomunikasi.

"Mereka mahu mengaburi mata pihak berkuasa dengan menjalankan aktiviti perjudian haram di sebalik perniagaan mereka.

"Ada antara premis ini diserbu polis sehingga empat kali tetapi tidak serik," katanya ketika ditemui selepas mengetuai operasi Bersepadu Pemotongan Kabel Premis di Taman Daya, Johr Bahru, hari ini.

Dalam operasi Bersepadu bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini, beliau berkata, pemotongan bekalan elektrik di premis yang terbabit dilakukan selepas didapati membuat penyambungan elektrik secara haram.

"Pemotongan bekalan elektrik ini memberi signal (isyarat) jelas untuk menghentikan aktiviti perjudian haram ini sama ada mesin perjudian atau judi dalam talian.

"TNB ada kaedah tersendiri mereka juga telah ambil perincian semua pemilik premis, lesen ini kita akan serahkan kepada PBT dan akan pastikan mereka ini disenarai hitam serta dia tidak dibenarkan menjalankan perniagaan," katanya.

Operasi dijalankan di seluruh Johor membabitkan 65 pegawai dan anggota Polis dan 42 kakitangan TNB negeri, selaras dengan peruntukan Undang-undang mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Dalam operasi ini, Polis Kontinjen Johor membuat permohonan pemotongan bekalan elektrik sebanyak 392 premis kepada pihak TNB.

Sebanyak 146 premis diluluskan dan mendapat kebenaran untuk pemotongan.

Ayob Khan berkata, Julai lalu, sebanyak 256 serbuan membabitkan semua jenis perjudian dan pihaknya berjaya menahan 363 individu serta merampas 182 telefon bimbit, enam unit komputer riba dan wang tunai berjumlah RM49,641.

"Ogos lalu, sebanyak 439 serbuan dibuat dan berjaya menangkap 655 individu, see merampas 386 telefon bimbit, tiga komputer, tiga komputer riba dan wang tunai RM178,515," katanya.

Disiarkan pada: September 2, 2020 @ 1:45pm
d