mutakhir

Maut terhempas di atas bumbung lif

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

LELAKI berusia 50 tahun maut selepas terjatuh di atas bumbung lif di Flat Sri Sabah di Cheras, Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, kejadian disedari penduduk pada 1.15 tengah hari lalu menghubungi pihak polis.

"Polis menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan mayat seorang lelaki di atas bumbung lif berkenaan.

"Sebelum itu syarikat penyelenggara lif dihubungi penduduk yang membuat aduan berhubung kerosakan lif itu

"Penduduk kemudian membuat aduan berhubung bunyi dentuman kuat sebelum pekerja syarikat penyelenggara menemui seorang lelaki dalam keadaan tertiarap di atas bumbung lif itu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, siasatan awal mendapati lif di flat setinggi 17 tingkat berkenaan berfungsi dengan baik sebelum kejadian berlaku.

"Polis akan mengambil keterangan daripada saksi berhubung kejadian dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Disiarkan pada: September 2, 2020 @ 4:14pm
d