mutakhir

Remaja antara 13 ditahan bergaduh di Pangkor

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

REMAJA berusia 16 tahun antara 13 lelaki ditahan dipercayai terbabit dalam pergaduhan di hadapan sebuah tokong Cina di Sungai Pinang Besar, Pulau Pangkor dekat Lumut semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, anggota di Balai Polis Pulau Pangkor menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 10.15 malam.

Menurutnya, susulan itu sepasukan anggota balai berkenaan bersama anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung ke lokasi kejadian untuk tindakan lanjut.

"Polis menahan 13 lelaki berusia antara 16 hingga 50 tahun dalam kejadian itu dan ada antara mereka mengalami luka-luka di badan.

"Bagaimanapun, tiada sebarang senjata dirampas di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Nor Omar berkata, siasatan awal mendapati motif kejadian kerana semua suspek tidak berpuas hati dengan masalah tempat letak kereta di Jeti Pulau Pangkor.

"Semua suspek ditahan kerana terbabit dalam merusuh dan dibawa ke IPD Manjung untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

"Mereka direman selamat empat hari bermula hari ini hingga Sabtu ini," katanya.

Disiarkan pada: September 2, 2020 @ 5:08pm
d