mutakhir

Empat ditahan leka bungkus dadah

Oleh Rosli Ilham

KEASYIKAN empat sahabat membungkus dadah di sebuah rumah di Kampung Seri Bandi, Chukai, Kemaman terbantut selepas mereka diberkas anggota polis, pagi semalam.

Ketika serbuan 4.30 pagi itu, semua suspek berusia antara 25 hingga 41 tahun itu sedang berada di dalam bilik yang dibina di bawah rumah terbabit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, serbuan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman hasil daripada maklumat awam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan badan pada suspek berusia 41 tahun itu, polis menemui 800 biji pil dipercayai dadah serta serbuk putih lain dipercayai dadah.

"Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui beg di sudut khas dan sebaik membuka beg terbabit, kami menjumpai pil dan serbuk dadah di dalamnya.

"Keseluruhan dadah dirampas adalah heroin seberat 900.73 gram (g) bernilai RM 45,000, 880 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM 8,800 serta syabu 35.78g dianggarkan bernilai RM3,578.

"Siasatan mendapati bekalan dadah ini baru diterima suspek dan mereka membungkus dadah terbabit untuk dijual kepada penagih di sekitar kawasan Hulu Kemaman," katanya ketika sidang akhbar di IPD Kemaman, hari ini.

Beliau berkata, tiga daripada suspek adalah penduduk tempatan manakala seorang lagi beralamat di Kampung Jaya Gading, Kuantan.

Menurutnya, saringan ujian air kencing dilakukan ke atas semua suspek mendapati mereka positif dadah jenis morfin.

"Siasatan polis mendapati tiga daripada suspek itu mempunyai rekod lampau berhubung dengan kesalahan dadah dan mereka direman selama tujuh hari bagi bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Tangkapan ini adalah tangkapan ketiga terbesar di daerah Kemaman setakat ini dan kami memberi amaran kepada tokan dadah di daerah Kemaman bahawa polis akan banteras kegiatan mereka habis-habisan," katanya.

Disiarkan pada: September 2, 2020 @ 5:29pm
d