mutakhir

Budak lelaki hilang, 4 selamat angkara kepala air [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

KANAK-KANAK lelaki berusia enam tahun dikhuatiri lemas dalam kejadian kepala air di Sungai Kedondong, Jalan Batang Kali Bayu Dingin dekat Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Dalam kejadian 3 petang itu, empat individu lain termasuk dua wanita berjaya diselamatkan selepas dihanyutkan arus deras.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 3.09 petang.

Menurutnya, seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba di lokasi, kami dimaklumkan terdapat 16 individu membabitkan tiga kumpulan berkelah di kawasan itu terperangkap akibat kepala air dengan lima daripadanya dihanyutkan arus deras," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Norazam berkata, seorang wanita dipercayai naik sendiri ke tebing, manakala dua lelaki berjaya menyelamatkan diri dengan duduk di atas batu sementara seorang lagi wanita diselamatkan anggota bomba.

"Ketika ini, usaha mengesan kanak-kanak lelaki yang dihanyutkan arus deras akibat kepala air sedang giat dijalankan," katanya.

Disiarkan pada: September 2, 2020 @ 5:38pm
d