mutakhir

Pemandu mabuk dipenjara 3 bulan

Oleh Melvin Joni

SEORANG lelaki dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Kuching, semalam selepas didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, Majistret Syukri Mokhtar menjatuhi hukuman ke atas lelaki berusia 31 tahun itu selepas didapati bersalah atas kesalahan yang dilakukan pada 12 Ogos lalu.

Katanya, tertuduh ditahan dalam Op Mabuk yang dijalankan kira-kira jam 11.50 malam di Jalan Padungan, Kuching.

"Tertuduh dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuching untuk menjalani ujian hembusan nafas.

"Keputusan ujian mendapati kandungan alkohol dalam badan tertuduh melebihi had yang dibenarkan," katanya.

Katanya, tertuduh didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: September 2, 2020 @ 5:40pm
d