mutakhir

Terengganu nilai keperluan bubarkan Dun jika PRU - MB

Oleh Baharom Bakar

KERAJAAN negeri Terengganu akan melihat dan menilai keperluan sebelum membuat keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun), jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan secara mengejut atau dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tidak semestinya Dun dibubarkan walaupun kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil keputusan untuk membubarkan Parlimen dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri sudah bersedia dan bersiap siaga jika PRU-15 diadakan dalam tempoh terdekat.

"Kita tengok keadaan bila tarikh pilihan raya mengejut akan diadakan. Macam-macam boleh berlaku, ada yang kata setahun, dua tahun dan tiga tahun lagi barulah PRU diadakan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan dan menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian (MoU) Pembentukan Konsortium antara Ahmad Zaki Sdn Bhd dan GPQ Sdn Bhd serta MMC Engineering Sdn Bhd dan P-Excell Management Sdn Bhd di Kuala Terengganu, hari ini.

Dr Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas berkata demikian ketika mengulas pendirian kerajaan negeri Kedah yang berkemungkinan tidak membubarkan Dun sekiranya berlaku PRU dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan berkata, kerajaan negeri ketika ini berada dalam keadaan kukuh dan pentadbirannya berjalan lancar di semua peringkat.

Disiarkan pada: September 2, 2020 @ 5:51pm
d