mutakhir

Beri peluang kontraktor tempatan laksana projek ECRL

Oleh Baharom Bakar

PENGENDALI projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), China Communications Construction Company Ltd (CCCC) digesa melonggarkan syarat bagi memberi peluang kepada kontraktor tempatan melaksanakan projek terutama membabitkan laluan di Terengganu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, gesaan itu dibuat berikutan 40 peratus atau RM3.02 bilion daripada kos keseluruhan projek ECRL di Terengganu iaitu RM7.56 bilion dikhaskan kepada kontraktor tempatan.

Beliau berkata, kerajaan menyedari syarat ketat ditetapkan CCCC, tetapi syarikat itu perlu memahami aspek lokaliti, kekangan serta kesukaran dihadapi kontraktor tempatan bagi memenuhi syarat ditetapkan.

"CCCC perlu mempertimbangkan aspek lokaliti kerana kebanyakan kontraktor adalah penduduk tempatan, apabila syarat ketat dikenakan, akan timbul perasaan tidak puas hati dalam kalangan mereka disebabkan pelaksanaan projek dilakukan orang luar.

"CCCC harus faham dengan keadaan di negara ini, pembabitan syarikat kontraktor tempatan bukan sekadar mendapatkan keuntungan, sebaliknya dianggap sebagai perkongsian pembelajaran baik bagi mereka," katanya selepas merasmikan dan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) pembentukan konsortium antara Ahmad Zaki Sdn Bhd dengan GPQ Sdn Bhd, MMC Engineering Sdn Bhd dan P-Excell Management Sdn Bhd bagi projek ECRL di Kuala Terengganu, hari ini.

Disiarkan pada: September 2, 2020 @ 6:19pm
d