mutakhir

Tiger Snook ditahan cetus pergaduhan

Oleh Safeek Affendy Razali

Kuala Lumpur: Bekas orang kanan kumpulan kongsi gelap 'Double Seven' (77) Klang, dikenali sebagai 'Tiger Snook', ditahan polis di Keramat Wangsa, petang semalam.

Sumber berkata, dalam kejadian jam 3.30 petang, Tiger Snook dan lima rakannya dilaporkan datang ke Jalan 25/56 Keramat Wangsa, untuk memantau kerja pemasangan paip gentian (fibre optik) sebuah syarikat telekomunikasi.

Katanya, berdasarkan maklumat, Tiger Snook ditugaskan memantau sebarang situasi di lokasi kerja pemasangan itu selepas diberikan tanggungjawab sebagai penyelia keselamatan.

"Bagaimanapun berlaku kekecohan apabila salah seorang rakannya mencederakan seorang daripada kumpulan peniaga kedai makanan yang hendak berunding mengenai pemasangan paip gentian berkenaan.

"Akibat daripada itu beberapa penduduk dan peniaga berhampiran memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis," katanya seperti dilaporkan BH.

Susulan daripada maklumat berkenaan, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju, diketuai Pegawai Risikan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah, Inspektor Abdul Hafiz Ab Hakim, bergegas ke lokasi dan memberkas kesemua suspek terbabit.

Sumber berkata, tiga lagi individu yang ditahan dipercayai adalah terdiri daripada kumpulan peniaga bagi membantu siasatan.

Katanya lagi, siasatan mendapati pergaduhan bukan membabitkan perbalahan antara kongsi gelap sebaliknya berkaitan cuba melakukan rusuhan dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Video dan gambar insiden pergaduhan kejadian berkenaan tular dalam laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp sejak semalam.

Tiger Snook, 42, kali terakhir ditahan polis adalah pada 2 September 2016, selepas dikesan terbabit dalam pergaduhan di sebuah pusat hiburan di daerah Dang Wangi, pada malam 31 Ogos tahun yang sama.

Disiarkan pada: September 2, 2020 @ 11:48pm
d