mutakhir

9 beranak hidup daif

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: Rumah usang sempit berdindingkan kayu reput dan atap bocor, menjadi tempat berteduh sembilan beranak tinggal bersesak di rumah usang di Kampung Chiku 1, dekat sini, sejak tiga tahun lalu.

Kehidupan Azime Mohamed, 42, bersama isteri, Roslina Mohd Noor, 39, dan tujuh anaknya daif kerana tidak mampu menyewa rumah yang lebih sempurna dan terpaksa menumpang di kediaman usang milik sebuah syarikat kuari itu.

Azime berkata, dia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di kuari terbabit diberi tinggal di rumah usang itu secara percuma oleh majikannya.

"Saya bekerja di kuari terbabit dengan pendapatan RM1,000 sebulan. pendapatan saya itu hanya sekadar cukup untuk belanja persekolahan empat anak," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Sebelum itu, Azime menerima kunjungan Pengerusi Persatuan Kebajikan Asnaf Gua Musang (PEKAGM), Mohd Syahbuddin Hashim.

Menurut Azime, tujuh anaknya berusia antara tiga hingga 20 tahun dan anak sulungnya itu masih menganggur selepas tamat pengajian Tingkatan Lima.

Katanya, dia berasal dari Bachok, Kelantan terpaksa berhijrah ke Gua Musang sejak 12 tahun lalu untuk mencari peluang pekerjaan.

"Saya sudah bekerja di beberapa tempat lain tetapi pendapatan kurang RM1,000 sebulan, tidak cukup untuk belanja persekolahan anak

"Saya tidak ada pilihan lain selain bekerja sebagai pengawal keselamatan di kuari ini kerana dapat gaji lebih sikit dan diberi tempat tinggal percuma," katanya.

Katanya, walaupun kediaman yang dihuni itu uzur dengan dinding kayu reput dan atap bocor, namun ia sudah memadai untuk keluarganya, tambahan pula mereka boleh tinggal di situ tanpa dikenakan bayaran bulanan.

Dia juga belum menerima sebarang bantuan daripada pihak berkuasa untuk perbelanjaan persekolahan empat anaknya.

Sementara itu, Mohd Syahbuddin berkata, masalah rumah usang didiami keluarga terbabit akan dibincang dengan pihak tertentu untuk mengatasinya.

Disiarkan pada: September 3, 2020 @ 1:47pm
d