mutakhir

Kereta terputus dua, lelaki maut

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Seorang lelaki maut manakala dua lagi parah selepas kereta dinaiki terputus dua dalam kemalangan di Jalan Indah 29/7, Taman Bukit Indah, Skudai, di sini, malam tadi.

Kemalangan pada 11.56 malam itu berlaku apabila kereta Proton Satria dinaiki terbabas dari laluan tengah ke bahu kiri jalan seterusnya melanggar pembahagi jalan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Skudai, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohamad Riduan Akhyar berkata, seramai 14 anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT) serta sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

Katanya, lelaki yang maut masih belum dikenal pasti identitinya, manakala dua yang parah ialah K Hem Raj, 23, dan Daniel Joy, 22.

"Mangsa yang cedera diselamatkan dan dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Katanya, operasi tamat 12.46 tengah malam.

Disiarkan pada: September 3, 2020 @ 2:12pm
d