mutakhir

Md Firdaus, anak bersama hingga akhir hayat [METROTV]

Oleh Zaid Salim

Kuala Terengganu: Allahyarham Leftenan Maritim Md Firdaus Omar disifatkan sebagai seorang yang bertanggungjawab kepada keluarga dan sentiasa bersama anaknya.

Malah bapa arwah, Omar Endut, 71, berkata, dia juga sentiasa bersama Md Firdaus sejak kecil hinggalah takdir Ilahi memisahkan mereka selepas arwah terbabit kemalangan, semalam.

"Meskipun dia menyertai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) lebih 10 tahun lalu, saya tidak pernah berpisah dengannya.

"Hari ini kami berpisah buat selama-lamanya. Dia anak yang sangat bertanggungjawab kepada keluarga," katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, hari ini

Omar berkata, kehilangan itu sukar diterima apatah lagi mereka turut kehilangan cucu, Muhammad Lutfil Al-Hadi, 8, namun perlu reda dengan qada dan qadar Allah SWT.

Katanya, arwah juga sangat menyayangi anak lelakinya dan banyak menghabiskan masa bersama kanak-kanak itu ketika pulang bercuti di rumah keluarga di Tambun, Perak mahupun keluarga mentuanya di Felda Adila, Kota Tinggi, Johor.

Sementara itu, bapa mentua arwah, Mohd Sebari Kobon, 72, berkata, pemergian menantu dan cucunya meninggalkan kesan yang mendalam terhadap keluarga.

Katanya, Muhammad Lutfil pula disifatkan cucu yang menghormati orang tua serta rajin membaca al-Quran.

Terdahulu, suasana pilu menyelubungi pekarangan rumah mayat apabila isteri Allahyarham Md Firdaus, Siti Hawa Mohd Sebari, 30, beberapa kali pengsan ketika menunggu urusan jenazah suami dan anak lelakinya selesai.

Jenazah dua beranak itu dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Malaysia Terengganu sebelum dihantar ke Kota Tinggi, Johor untuk disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felda Adila, malam ini.

Berita berkaitan

Md Firdaus seorang yang tegas, tapi suka bergurau [METROTV]

Pegawai APMM, anak maut kemalangan

Disiarkan pada: September 3, 2020 @ 4:27pm
d