mutakhir

Covid-19: 14 kes baharu hari ini, 4 pulih

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Jangkitan baharu Covid-19 merekodkan 14 kes baharu hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan wabak itu sebanyak 9,374 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 10 kes baharu yang dilaporkan berkaitan penularan tempatan manakala empat kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

Katanya, kes penularan tempatan membabitkan enam warga negara dan empat bukan warga negara manakala kes import masing-masing dua warga negara serta bukan warga negara.

"Daripada empat kes import itu, tiga dari Singapura yang dilaporkan di Negeri Sembilan dan Johor serta satu dari Filipina yang dilaporkan di Kuala Lumpur.

"Bagi kes penularan tempatan pula, tiga kes dari Kluster Tawar dan satu Kluster Telaga di Kedah manakala dua kes dari Kluster Benteng LD di Sabah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat empat kes pulih dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah sebanyak 9,083 kes iaitu 96.9 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Beliau berkata, setakat ini jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 163 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan.

"Empat kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan tiga daripadanya memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Katanya, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal 128 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 3, 2020 @ 5:41pm
    d