mutakhir

Bayi 'merdeka' ditinggalkan dalam beg hitam

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Bayi 'merdeka' ditemui ditinggalkan dalam sebuah beg hitam bersama sepucuk surat berhampiran gereja di Taman Sri Bintang, Kepong, hari ini.

Bayi lelaki cukup sifat dan masih hidup itu dipercayai lahir pada 31 Ogos lalu sebelum ditinggalkan di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, seorang lelaki yang sedang bersenam dan melalui kawasan berkenaan menemui bayi itu kira-kira 8 pagi, lalu memaklumkan kepada pihak pengurusan gereja.

"Polis yang menerima laporan kejadian segera ke lokasi. Pemeriksaan mendapati bayi itu dibaluti selimut dan diletakkan dalam beg hitam bersama sepucuk surat.

"Bayi itu diletakkan di kaki lima hadapan gereja berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, soal siasat terhadap pihak pengurusan gereja memaklumkan tidak mendengar tangisan bayi dan hanya mengetahui kejadian daripada lelaki terbabit.

Katanya, polis memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di bangunan itu untuk siasatan lanjut.

"Bayi dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut. Bayi terbabit dipercayai lahir di hospital berkenaan pada 31 Ogos lalu," katanya.

Beliau berkata, tiada kesan luka luaran dan pihak hospital akan memaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: September 3, 2020 @ 6:12pm
d