mutakhir

Masih bincang turunkan harga pelitup muka

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) masih berbincang dengan pengilang dan pembekal bagi menurunkan harga pelitup muka tiga lapis pada harga siling bawah RM1 di peringkat runcit, dalam tempoh terdekat.

Menteri KPDNHEP, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, cadangan penurunan dan penetapan harga bergantung kepada pengilang tempatan untuk menghasilkan produk itu.

"Kita menjangkakan harga siling (pelitup muka) dijual munasabah dan mengambil kira semua faktor khususnya kualiti dihasilkan.

"Malah, kita tidak mahu ia (harga) terlalu rendah menyebabkan kilang bermasalah dan ketidakcukupan stok," katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke Meditata Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sedang berusaha mengadakan rundingan dengan beberapa pengilang bagi tujuan itu.

"Kita akan berjumpa dua atau tiga lagi pengilang dan menjangkakan penetapan harga siling ini dapat dimuktamadkan pada Oktober ini," "katanya.

Dalam pada itu, Nanta berkata, pemantauan ke atas 13 kilang mendapati negara mengeluarkan sebanyak 108,554,945 pelitup muka diproses sejak April hingga Ogos lalu.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 96,023,638 pelitup muka diedar di pasaran tempatan dan pasaran eksport.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 3, 2020 @ 6:53pm
    d