mutakhir

Luah rindu pada suami sebelum ajal

Oleh Syaherah Mustafa

Pasir Mas: "Baru malam tadi kami bercakap melalui telefon, dia bersungguh-sungguh menyatakan rasa rindu dan sayang pada saya," kata Mohd Shaipul Rizam Muhamad, 29, suami kepada mangsa kemalangan maut di Jalan Pasir Mas-Meranti, Kampung Pohon Buloh, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, Noriza Zakaria, 28, meninggal dunia akibat dirempuh Perodua Alza yang terbabas ketika mangsa sedang membeli daging di gerai di bahu jalan.

Peniaga daging iaitu seorang lelaki warga emas pula dilaporkan menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Mohd Shaipul yang bekerja sebagai tukang rumah di Kedai Lalat, Kota Bharu, berkata, dia menerima panggilan telefon daripada ibu mentua yang memberitahu bahawa isterinya terbabit dalam kemalangan jalan raya.

"Saya tidak dimaklumkan bahawa dia sudah meninggal dan menyangka ia hanya kemalangan biasa, namun luluh hati saya apabila sampai ke Hospital Pasir Mas (HPM) hanya sekujur tubuh tidak bernyawa yang saya lihat.

"Tak sangka perbualan kami malam tadi adalah panggilan terakhir isteri. Sejak kebelakangan ini dia agak manja kerana kami memang berjauhan memandangkan saya berkerja dan tinggal di Kota Bharu. Namun, biasanya saya pulang ke rumah dua kali seminggu.

"Sejujurnya perit untuk saya menerima kenyataan ini selepas hampir sembilan tahun kami mendirikan rumah tangga bersama, bagaimanapun saya reda dan terus kuat demi dua anak kami berusia lapan dan dua tahun," katanya ketika ditemui di Unit Jabatan Forensik HPM, di sini, hari ini.

Mohd Shaipul mengakui risau dengan keadaan dua anaknya yang pasti merindui ibu mereka terutama anak kedua, Muhammad Danish Hakimi, 2, yang tidak pernah berenggang dengan isterinya.

Katanya, jenazah akan dikebumikan selepas solat Isyak di Tanah Perkuburan Islam Kampung Machang Gochoh, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, berdasarkan siasatan awal, kemalangan berpunca daripada pemandu Perodua Alza yang hilang kawalan lalu merempuh kedai serta mangsa di bahu sebelah kanan jalan.

"Mangsa dibawa ke HPM untuk dibedah siasat dan mengalami kecederaan teruk di perut. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Disiarkan pada: September 3, 2020 @ 6:57pm
d