mutakhir

Arief mahu balas jasa ibu

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Krai: Biarpun baru berusia 18 tahun, Arief Iskandar Abdullah sudah menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga demi menyara ibu, Nora Zurazuzila Fauzi, 42, dan adiknya, Azra Zahra, 6.

Arief berkata, dia mencari rezeki dengan mengambil upah melakukan kerja kampung seperti menebang pokok dan mengisi tanah di dalam polibag .

Menurutnya, pekerjaan itu dilakukan sejak dua bulan lalu iaitu selepas ibunya disahkan menghidap penyakit vertigo iaitu hilang keseimbangan badan.

"Ayah sudah meninggal dunia 10 tahun lalu dan sejak kecil, ibu yang membesarkan saya dan adik.

"Sebelum ini, ibu bekerja sebagai penoreh getah tetapi terpaksa berehat sejak dua bulan lalu kerana sering pening dan muntah-muntah akibat vertigo.

"Adik pula masih kecil dan mengalami disleksia (masalah pembelajaran) jadi saya yang perlu keluar bekerja demi menampung keperluan kami sekeluarga," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Arief berkata, anggaran upah diterima adalah sebanyak RM25 hingga RM30 sehari dan jumlahnya tidak menentu kerana pekerjaannya itu hanya dilakukan jika ada permintaan.

Namun, Arief bersyukur dan menganggap upah diterima sudah memadai untuk membeli keperluan harian serta meringankan beban ibunya.

"Saya bekerja dari 8 pagi hingga5 petang tetapi bukan setiap hari kerana mengikut permintaan.

"Pekerjaan itu agak berat juga pada mulanya tetapi saya sudah dapat membiasakan diri .

"Walaupun upah diterima tidak banyak, saya bersyukur kerana sekurang-kurangnya ada pekerjaan dan dapat membantu ibu. Ini kerana kalau tidak bekerja, tiadalah pendapatan. Ibu ada menerima bantuan bulanan sebanyak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun wang itu banyak digunakan untuk perbelanjaan adik yang sudah memasuki pra sekolah," katanya yang menetap di rumah sementara mangsa banjir 2014 di tanah rizab kerajaan.

Dia berkata, walaupun berdepan masalah kewangan, dia tetap akan melanjutkan pengajian peringkat Diploma Seni Reka Grafik di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Nibong Tebal, Pulau Pinang pada November depan.

"Memang berat hati untuk menyambung pelajaran kerana memikirkan ibu dan adik tetapi saya rasa ini caranya untuk mengubah nasib kami sekeluarga.

"Lagipun, saya mendapat bantuan Yayasan Raja Shamri yang membantu menguruskan dan menanggung kos kemasukan saya ke pusat pengajian.

"Kebetulan, rumah nenek tidak jauh dengan penempatan kami. Ibu dan adik akan ke sana jadi saya tidak risau kerana ada yang akan melihat keadaan mereka," katanya.

Kisah kesempitan hidup Arief, ibu dan adiknya dikongsikan oleh Pengerusi Eksekutif Yayasan Raja Shamri dan Pengasas Gerakan Kemanusiaan The 3rd Force, Raja Shamri Raja Husin menerusi hantaran di Facebook kelmarin.

Menerusi hantaran itu, Raja Shamri berkongsi gambarnya menyampaikan sumbangan komputer riba dan telefon bimbit menggunakan dana hasil sumbangan orang ramai.

Disiarkan pada: September 3, 2020 @ 10:51pm
d