mutakhir

Jenazah pegawai APMM, anak selamat dikebumi

Oleh Omar Ahmad

Kota Tinggi: Jenazah Pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan anaknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Sening di sini, kira-kira 12 tengah malam tadi.

Jenazah Leftenan Maritim Md Firdaus Omar, 35 dan anak sulungnya, Muhammad Lutfil Al-Hadi, 8 disemadikan dalam satu liang lahad.

APMM Johor turut memberikan penghormatan kepada jenazah dengan Majlis Istiadat Pengebumian dan Kawalan Jenazah yang akan dilaksanakan oleh 15 Pegawai Penguatkuasa dan 17 Pegawai Lain-lain Pangkat daripada Maritim Negeri Johor.

Jenazah kedua mangsa sebelum itu tiba kira-kira 11 malam, di Surau Felda Sening untuk disembahyangkan oleh ahli keluarga, sahabat handai dan orang kampung sebelum dikebumikan.

Abang kandung Allahyarham, Suhaimi Omar berkata adiknya mempunyai keperibadian yang tegas dan mengambil berat.

Katanya setiap apa jua bidang tugasan yang diberikan, ia digalas dengan amanah dan jujur serta cekap mengendalikan peralatan aset kerajaan.

"Alhamdulillah perjalanan terakhir arwah berjalan lancar, hampir 200 orang menghadiri pengebumian adik dan anak saudara, termasuk saudara dan rakan setugasnya," katanya.

Allahyarham yang bertugas di APMM Terengganu meninggal dunia bersama anaknya selepas terbabit dalam kemalangan ketika menghantar anaknya ke kelas mengaji.

Mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Vario dirempuh sebuah kereta ketika keluar dari simpang di Taman Perumahan Mega, Kuala Nerus, Terengganu.

Md Firdaus meninggalkan dua orang anak perempuan dan bayi yang masih dalam kandungan isterinya

Berita berkaitan

Md Firdaus, anak bersama hingga akhir hayat [METROTV]

Pengsan tunggu jenazah

Md Firdaus seorang yang tegas, tapi suka bergurau [METROTV]

Pegawai APMM, anak maut kemalangan

Disiarkan pada: September 4, 2020 @ 8:44am
d