mutakhir

Isu Veveonah: 'Dakwaan Zahidi silap'

Oleh Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Menteri Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah mengesahkan tindakan Timbalannya, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang menyatakan penuntut, Veveonah Mosibin sebenarnya tidak menduduki peperiksaan ketika videonya dirakam sebelum tular, adalah satu kesilapan.

Saifuddin berkata, beliau juga sudah membaca maklum balas Veveonah membabitkan perkara itu.

"Yang Berhormat Timbalan Menteri akan memperbetulkan dan kenyataan itu telah tercatat dalam hansard.

"Pada saya itu adalah satu kesilapan dan beliau telah pun memohon maaf," katanya kepada media selepas merasmikan program Tanjak Merdeka, Warisan Melayu Malaysia di lobi kementerian itu, di sini, hari ini.

Saifuddin berkata demikian ketika diminta mengulas jawapan Zahidi dalam Dewan Negara semalam, bahawa hasil siasatan kementerian mendapati, Veveonah sebenarnya tidak menduduki peperiksaan ketika video tular memanjat pokok untuk mendapatkan capaian Internet itu dirakam.

Saifuddin berkata, Sabah juga termasuk dalam pelan tindakan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lalu, yang akan melengkapkan hubungan Internet di seluruh negara.

"Melalui dua fasa itu, kita sedang mempertingkatkan migrasi rangkaian 2G dan 3G kepada 4G dan fasa kedua kepada 5G.

"Jadi program kesalinghubungan di kawasan luar bandar sedang kita tingkatkan selain mengambil kira pengalaman negara berdepan dengan penularan Covid-19 dan sebagainya," katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial berkaitan Veveonah, penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS), yang memanjat pokok di kampungnya di Pitas, Sabah demi mendapatkan talian Internet untuk menduduki peperiksaan dalam talian.

Sementara itu, Saifuddin berkata, program Tanjak Merdeka yang diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia adalah sangat signifikan.

Beliau berkata, dalam membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara moden, perlu ada keseimbangan antara nilai tradisi dan perkembangan sains, teknologi serta inovasi.

"Kita mahu menjadi sebuah negara maju dengan segala bentuk teknologi terkini tetapi tetapi ia harus berakar kepada paksi yang kuku. Antaranya adalah tradisi warisan bangsa," katanya.

Disiarkan pada: September 4, 2020 @ 2:28pm
d