mutakhir

Gagal pulang ke Indonesia

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Hasrat 15 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia untuk pulang ke negara asal terbantut selepas mereka ditahan dalam serbuan Operasi Benteng (Op Benteng) di kawasan Sedili Kechil, Kota Tinggi, Johor, hari ini.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan semua Pati berkenaan ditahan dalam tiga serbuan berasingan di lokasi berkenaan yang bermula kira-kira jam 1 pagi.

Katanya, petugas rondaan yang bertugas mengawasi pesisiran pantai itu melihat sebuah bot pada jarak 100 meter menghampiri pesisir pantai jam 1.30 pagi.

"Beberapa minit kemudian, sekumpulan individu dalam keadaan mencurigakan dilihat keluar dari semak berhampiran menuju perairan untuk menaiki bot.

"Dalam serbuan itu, kami menahan 12 Pati warga Indonesia terdiri daripada lapan lelaki dan empat wanita berusia antara 19 hingga 45 tahun yang dipercayai mahu pulang ke kampung halaman," katanya.

Menurutnya, Kumpulan Quick Reaction Force (QRF) yang turut digerakkan dalam operasi itu berjaya menahan dua lagi Pati lelaki yang bersembunyi di pinggir hutan pada jarak kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian jam 2.50 pagi.

"Seorang lagi Pati lelaki yang bersembunyi di kawasan hutan berhampiran berjaya dikesan kira-kira jam 7 pagi.

"Pasukan operasi turut merampas wang tunai serta 17 telefon bimbit dianggarkan berjumlah RM40,000," katanya.

Katanya, semua individu yang ditahan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang dan pengendalian mereka adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

"Semua PATI berkenaan dibawa di Balai Polis Kuala Sedili untuk melengkapkan laporan tangkapan sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut selepas menjalani ujian saringan Covid-19," katanya.

Disiarkan pada: September 4, 2020 @ 2:59pm
d