mutakhir

DPIM gesa tutup, tarik balik lesen kilang punca pencemaran air

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan tegas, termasuk menutup atau menarik balik lesen operasi kilang di kawasan perindustrian Sungai Gong, Selangor yang menyebabkan pencemaran air.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Dewan Pemuda DPIM, Shahir Adnan berkata, kejadian Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan LRA Rantau Panjang terpaksa henti operasi sejak semalam menunjukkan seolah-olah mereka tidak mempedulikan tindakan undang-undang atau tiada penguatkuasaan tegas PBT.

Shahir yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Perlindungan Pengguna Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berkata, siasatan mendapati punca pencemaran disebabkan kilang menyelenggara mesin dan jentera di Sungai Gong gagal melakukan penstoran sisa minyak buangan mengikut syarat ditetapkan.

"Akibatnya, sungai menjadi mangsa sehingga menjejaskan rutin harian 1.2 juta pemegang akaun air di wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

"Oleh itu, tindakan lebih tegas perlu diambil supaya episod pencemaran sungai tidak berulang dan kelestarian alam semula jadi Selangor terus terpelihara," katanya.

Disiarkan pada: September 4, 2020 @ 3:10pm
d