mutakhir

Punca pencemaran Sungai Gong dikenal pasti

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mengenal pasti beberapa premis perindustrian yang dipercayai menjadi punca pencemaran di Sungai Gong, Rawang, kelmarin.

Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Dr Zaini Ujang berkata, pihak terbabit akan dibawa ke muka pengadilan minggu depan.

"Pihak penguat kuasa sedang menyiapkan kertas pertuduhan untuk dibawa ke mahkamah," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Bestari Jaya, di sini, hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya menyita premis yang disyaki terbabit pencemaran itu semalam dan mengarahkan kerja pembersihan dilakukan.

"Kos pembersihan akan ditanggung oleh mereka yang sedang disyaki. Apabila didapati bersalah, mereka akan melakukannya (kerja pembersihan)," katanya.

Tambah Zaini, pihaknya akan menyiapkan rang undang-undang dalam tempoh terdekat untuk dibentangkan di Parlimen pada sidang akan datang bagi memastikan pihak terlibat diambil tindakan tegas.

Beliau berkata, pencemaran kali ini turut menyaksikan pelbagai agensi akan mengambil tindakan ke atas pihak yang melakukan perkara itu.

"Dahulu, hanya satu agensi iaitu Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang ambil tindakan. Sekarang ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), pihak berkuasa tempatan (PBT), Kerajaan Negeri dan pelbagai agensi akan ambil tindakan sama," katanya.

Disiarkan pada: September 4, 2020 @ 5:34pm
d