mutakhir

Polis tubuh pasukan khas siasat pencemaran sungai

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Polis menerima dua laporan berhubung pencemaran di Sungai Gong, Rawang, sehingga mengakibatkan gangguan bekalan air di Lembah Klang.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, susulan laporan itu pihaknya menubuhkan satu pasukan khas untuk menjalankan siasatan lanjut mengenai punca pencemaran.

"Pasukan khas itu membabitkan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta pelbagai agensi lagi.

"Polis sudah mula siasatan dan akan memanggil mereka yang terbabit dalam insiden pencemaran itu (memberi keterangan)," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan sama ada kilang yang menjadi punca pencemaran beroperasi secara haram atau tidak.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 30 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, kilang selenggara mesin dan jentera di Rawang yang menjadi punca pencemaran bau di Sungai Selangor sudah ditutup dan disita.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menerusi ciapan di Twitter memaklumkan, pelbagai pihak kini berusaha menghilangkan kesan pencemaran dalam sumber air itu.

Kilang berkenaan diarah ditutup sementara menunggu keputusan siasatan, selain pemantauan rapi dilakukan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) bersama agensi berkaitan.

Tujuh wilayah di Kuala Lumpur dan Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas empat Loji Rawatan Air (LRA) terpaksa dihenti tugas pagi ini.

Gangguan membabitkan wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Disiarkan pada: September 4, 2020 @ 11:09pm
d