mutakhir

Pendaki maut disengat ratusan tebuan tanah

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Kangar: Seorang lelaki warga emas maut disengat tebuan tanah ketika melakukan aktiviti mendaki bukit di Bukit Ayer, di sini, bersama isteri dan rakannya, petang semalam.

Mangsa, Kang Ah Leck, 66, yang dibawa rakannya ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dengan menaiki kereta disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital itu pada 6.45 petang.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, berkata mangsa bersama isteri berusia 62 tahun dan empat rakan diserang tebuan tanah ketika sedang turun ke kaki bukit.

"Seramai empat pendaki termasuk mangsa dan isterinya diserang tebuan tanah sehingga mereka mengalami bengkak di anggota badan sebelum mangsa pengsan.

"Salah seorang rakan kemudian membawa mangsa ke HTF, namun mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wari berkata, hasil pemeriksaan ke atas mayat mangsa terdapat kesan sengatan pada tangan kanan, paha kiri dan kanan.

beliau berkata, tiada kecederaan atau kesan lain yang boleh dikaitkan dengan perbuatan jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Sementara itu, isteri mangsa, Kok Chooi Lung, 62, ketika ditemui berkata dia dan suaminya sudah lama melakukan aktiviti riadah di kawasan berkenaan.

"Sejak 1997 lagi kami sudah melakukan aktiviti mendaki di kawasan terbabit, namun ini adalah kali pertama diserang tebuan.

"Pada mulanya, suami masih boleh berjalan sejurus serangan berlaku, namun ketika di pertengahan jalan dia rebah dan tidak sedarkan diri sebelum kami berlima mengangkatnya ke kereta untuk dibawa ke hospital," katanya ketika ditemui di HTF.

Chooi Lung berkata, dia tidak menyangka suaminya yang disangkakan pengsan pergi meninggalkan dirinya bersama dua anak lelaki dan seorang perempuan.

"Memang tidak menyangka, kerana saya pun diserang tebuan sehingga mendapat kecederaan pada kedua-dua belah tangan.

"Tetapi suami sudah meninggal dunia dan meninggalkan kami empat beranak," katanya.

Disiarkan pada: September 5, 2020 @ 12:42pm
d