mutakhir

Isu 46 hospital uzur selesai pada RMK12

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menyelesaikan isu membabitkan 46 hospital yang didapati berusia lebih 50 tahun di bawah di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, KKM juga akan mengadakan perbincangan dengan beberapa agensi lain berhubung pelan pemulihan hospital berkenaan yang akan dibentang kepada Perdana Menteri Tan Sri MuhyiddinYassin, dalam masa terdekat.

"Cadangan pelan ini membabitkan Kementerian Kerja Raya (KKR), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Kementerian Kewangan dan beberapa agensi lain.

"Kita akan melihat bagaimana untuk memastikan projek kesihatan rakyat ini terjamin dan kerja pembaikan atau pendawaian semula serta pemeriksaan keselamatan hospital perlu dibuat.

"Bukan sahaja isu hospital di Semenanjung akan diselesaikan, malah termasuk di Sabah dan Sarawak juga," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan Klinik Kesihatan Batu Muda Tahap 2, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Ir Razdwan Kasim dan Ketua Setiausaha KKM Datuk Seri Dr Chen Chaw Min.

Sementara itu, Dr Adham berkata, enam klinik kesihatan baharu, termasuk Klinik Kesihatan Batu Muda, siap tahun ini.

Menurutnya, kos pembinaan Klinik Batu Muda menelan belanja kira-kira RM25 juta, namun dapat dijimatkan kepada RM21 juta dan dilengkapi kemudahan bagi kelas klinik tahap dua serta mampu menerima sehingga 800 pesakit sehari.

Beliau berkata, lima lagi klinik yang sudah siap adalah di Batu Berendam, Melaka, Bukit Indah, Johor, Kuala Kangsar, Perak, Kampung Gial, Perlis dan Sungai Rengit, Johor.

"Walaupun dalam norma baru dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, kita juga dapat menyiapkan projek kesihatan untuk dimanfaatkan masyarakat.

"Esok kita akan ada majlis penyerahan projek Klinik Kesihatan Sungai Rengit, Pengerang, dekat Johor.

"Bagaimanapun, klinik kesihatan itu agak berbeza dengan klinik yang lain kerana di sana terdapat 10 katil kecemasan untuk menangani isu Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID), Kompleks Bersepadu Pengerang, sebelum adanya hospital yang betul," katanya.

Selain itu, Dr Adham berkata, KKM juga menyediakan klinik bergerak bagi memudahkan rakyat di kawasan bandar terutama di sekitar Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan.

Disiarkan pada: September 5, 2020 @ 3:12pm
d