mutakhir

Balak berterabur atas jalan, masuk kedai makan

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: Lebih 40 batang kayu balak bertaburan di atas jalan raya dan sebahagian masuk ke dalam kedai makan selepas lori balak terbalik dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 43 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, kemalangan berlaku pada 6.15 pagi membabitkan tiga kenderaan iaitu lori balak, lori dan kereta Perodua Myvi.

Beliau berkata, kemalangan itu menyebabkan pemandu lori, S Sivananthan, 50, putus empat jari tangan kanan manakala kelindannya, S Loshendar Raj, 19, luka di kepala.

Menurutnya, pemandu lori balak, Rosli Ab Rahman, 51, dan pemandu kereta Perodua Myvi, Muhammad Syairazi Mohd Yussof, 28, tidak cedera.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu lori yang dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai dipercayai mengantuk sehingga kenderaannya hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

"Berikutan itu, lori terbabit bergesel dengan lori balak menyebabkan ia terbalik dan kayu balak berselerak atas jalan raya hingga menutup laluan.

"Kebetulan, kereta Perodua Myvi dari arah Gua Musang menghala ke Kuala Krai tidak sempat menekan brek lalu merempuh kayu balak berkenaan," katanya.

Beliau berkata, selain memenuhi jalan, balak terbabit turut masuk ke kedai makan di tepi jalan dan ketika kejadian, premis itu belum beroperasi.

Menurutnya, dua mangsa cedera dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk rawatan.

"Berikutan itu, berlaku kesesakan lalu lintas kerana berpuluh kayu balak melintang jalan dan kami mengambil masa lebih sejam untuk mengalih balak terbabit.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: September 5, 2020 @ 4:14pm
d