mutakhir

Penerima zakat dijangka meningkat

Oleh Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Kerajaan menjangkakan jumlah penerima zakat di seluruh negara akan bertambah akibat kehilangan punca pendapatan susulan pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata, pandemik terbabit turut memberi kesan kepada jumlah kutipan zakat, selain jumlah penerima yang meningkat di setiap negeri.

Menurutnya, bantuan daripada kerajaan terus disalurkan bagi membantu golongan yang memerlukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diteruskan.

"Selain bantuan zakat daripada Majlis Agama Islam Negeri terdapat juga inisiatif daripada pihak kerajaan yang akan diumumkan dari semasa ke semasa.

"Bagaimanapun, saya difahamkan jumlah kutipan zakat di setiap negeri adalah berbeza.

"Sebagai contohnya, di Kelantan dalam hanya enam bulan pertama mendapat sumbangan zakat hampir RM100 juta.

"Tetapi yang nyata meningkat adalah sasaran agihan asnaf yang perlu dibantu," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Santuni Komuniti Masyarakat Sejahtera Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2020 di Masjid As Salam, Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Program terbabit diadakan selama tiga hari dengan kerjasama beberapa agensi dengan pelbagai aktiviti seperti Forum Perdana Hal Ehwal Islam, program MyHaus dan penyerahan Foodbank kepada golongan sasar.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 5, 2020 @ 5:18pm
    d