mutakhir

Jabatan Penjara Kelantan nafi banduan maut akibat dipukul

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Jabatan Penjara Kelantan menafikan dakwaan bahawa banduan di Penjara Pengkalan Chepa yang meninggal dunia pada 1 September lalu akibat dipukul ketika berada dalam sel.

Pengarah Penjara Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Mat Yaacob berkata, mangsa menjalani hukuman penjara pada 8 Julai lalu atas kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun (AR).

Katanya, sebelum mana-mana tahanan dimasukkan ke dalam penjara, individu berkenaan perlu melalui pemeriksaan kesihatan bagi mengetahui tahap kesihatan ketika itu.

"Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas mangsa, didapati kakinya bernanah serta berkudis dan pegawai perubatan di penjara memberi ubat namun kecederaan pada kakinya semakin parah sehingga memaksa doktor membawanya mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).

"Walau bagaimanapun, pada 25 Ogos lalu, mangsa sekali lagi mengadu sakit pada bahagian kaki dan dia dibawa ke HRPZ II untuk rawatan lanjut dan tiga hari lalu mangsa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HRPZ II dan disahkan meninggal dunia pada 1 September lalu.

"Doktor mengesahkan punca kematian adalah disebabkan jangkitan kuman pada paru-paru," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, insiden yang menimpa mangsa turut dimaklumkan oleh ahli keluarga namun perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak penjara.

Melalui satu kenyataan yang ditularkan di Facebook (FB) baru-baru ini, adik ipar mangsa meminta perhatian rakyat di negara ini bagi mendapatkan keadilan bagi arwah abang iparnya.

Adik ipar mangsa memberitahu mangsa berada dalam keadaan sihat sebelum dimasukkan ke dalam penjara selain tidak pernah mempunyai masalah kesihatan kritikal.

Namun begitu, pihak keluarga terkejut dengan kecederaan yang dialami mangsa selepas berada di dalam tahanan dan mangsa didakwa cedera pada bahagian paru-paru, dada dan perut.

Dalam pada itu, Mat berasa terkilan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh adik ipar mangsa tanpa mendapatkan maklumat sebenar.

"Saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas penyebar berita palsu ini sehingga menjejaskan kredibiliti Jabatan Penjara," katanya.

Disiarkan pada: September 5, 2020 @ 5:18pm
d