mutakhir

10 lori tangki air dihantar dari Johor ke Selangor

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Ranhill SAJ Sdn Bhd (Ranhill SAJ) hari ini menghantar 10 lori tangki air bagi membantu pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengagihkan bekalan air bersih ke kawasan terjejas ekoran pencemaran di Sungai Gong, Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ, Nor Ifuan Md Nor berkata, bantuan lori tangki air itu dijangka bergerak ke Selangor lewat malam ini.

Katanya, Ranhill SAJ akan bersama rakan-rakan di Air Selangor dalam pengagihan air ke kawasan terjejas.

"Ini adalah tanggungjawab sosial dan persefahaman yang dilakukan sesama operator bekalan air di seluruh negara.

"Semoga usaha yang dilaksanakan ini mampu membantu Air Selangor dalam menangani masalah bekalan air," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan gangguan bekalan air membabitkan hampir 1.2 juta akaun di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang susulan isu pencemaran yang berlaku.

Disiarkan pada: September 5, 2020 @ 6:06pm
d