mutakhir

Adun Lunas dan Sidam masuk Bersatu

Oleh Noorazura Abdul Rahman

DUA wakil rakyat Bebas, Azman Nasrudin dan Dr Robert Ling Kui Ee mengumumkan mereka menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) malam tadi.

Azman adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas manakala Ling adalah ADUN Sidam.

Pengumuman itu dibuat pada Majlis Makan Malam Penggerak Komuniti Negara (PKN) di Alor Setar, Kedah malam tadi yang turut dihadiri oleh bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; bekas Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin yang sudah menyertai Bersatu pada 22 Ogos lalu.

Sebelum ini, Azman dan Ling mengumumkan keluar daripada PKR dan menjadi wakil rakyat Bebas serta menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) pada 12 Mei lalu.

Menurut Azman, pihaknya menjangkakan hampir 10,000 ahli PKN di negeri ini akan mengikut jejak langkahnya menyertai BERSATU.

"Malam ini kita menghantar borang untuk keahlian BERSATU daripada pengerusi PKN di setiap kawasan parlimen di negeri ini dahulu, di peringkat akar umbi kita akan susun kemudian.

"Untuk keseluruhan kita ada 400 hingga 700 ahli PKN di setiap parlimen, jadi kita sedang gerakan mereka menyertai Bersatu. Kita sudah berhubung dengan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Kedah, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah untuk menyatakan hal ini. Penyertaan kami akan mengukuhkan lagi Bersatu di Kedah," katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.

Azman turut menjelaskan penyertaan akar umbi PKN dalam BERSATU tidak lama lagi akan turut membabitkan kaum lain iaitu India,Cina dan Siam.

Katanya, ini berikutan pengumuman Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa parti itu akan mewujudkan sayap baharu bagi membolehkan ahli bersekutu daripada golongan bukan Melayu dan bukan Bumiputera, dapat bersama-sama memegang jawatan dan menyumbang idea.

"Kita bersedia untuk menerima arahan daripada Tan Sri Muhyiddin dan akan menyokong penuh kepimpinannya sebagai Perdana Menteri," katanya.

Disiarkan pada: September 6, 2020 @ 9:15am
d