mutakhir

Pusat sehenti serba lengkap

Oleh Suliati Asri

   

Bagi mereka yang melakukan perjalanan jauh menggunakan lebuh raya, singgah di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dikendalikan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bagaikan suatu kemestian kerana fungsinya sebagai pusat sehenti serba lengkap.

Kemudahan itu cukup sinonim buat rakyat Malaysia yang menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke-63.

Malah, reputasinya turut mendapat pujian pelancong asing kerana pengunjung bukan saja boleh menikmati pelbagai menu makanan tradisional tetapi boleh merasa keenakan buah-buahan tempatan di sepanjang perjalanan.

Kemudahan itu bukan saja mempertingkatkan jaringan sistem perhubungan dan pengangkutan negara, malah turut memberi manfaat besar kepada segenap lapisan masyarakat.

Jajaran lebuh raya PLUS kini merangkumi Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Baru Lembah Klang, Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Utara- Selatan Lingkaran Tengah, Lebuhraya Lintasan Kedua Malaysia-Singapura, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuhraya Butterworth-Kulim dan Jambatan Pulau Pinang.

Sebagai pengendali lebuh raya terbesar di negara ini, PLUS bukan hanya menyelenggara laluan malah melengkapinya dengan pelbagai kemudahan untuk keselesaan pengguna.

Selain R&R kemudahan lain termasuk hentian sebelah, restoran jejantas dan puncak vista. Di sebalik komitmen itu, PLUS turut menyediakan peluang perniagaan jangka panjang kepada rakan kongsinya di setiap hentian rehat.

Lebih membanggakan jajaran lebuh raya di bawah PLUS itu juga memberi limpahan ekonomi kepada penduduk sekitar serta impak kepada pembangunan rakyat sekali gus bersesuaian dengan peranannya sebagai Rakan Negara.

Bagi pengguna lebuh raya, Azlan A Aziz, 51, kemudahan lebuh raya diselenggarakan PLUS memberi impak terhadap kehidupannya malah merapatkan hubungan keluarganya yang tinggal berjauhan.

Mengimbau kenangan pulang ke kampung di Batu Pahat, Johor sekitar tahun 70-an, Azlan berkata apabila pulang ke kampung, ibunya sentiasa menyediakan bakul berisi makanan dan air kopi sebagai bekalan sepanjang jalan selain perlu mencari masjid untuk solat.

"Dengan kemudahan serba lengkap disediakan PLUS, kehidupan rakyat lebih mudah. Perjalanan ke destinasi lebih cepat, mudah malah kemudahan tempat makan, solat atau berehat terjaga dengan baik.

"PLUS juga melonjakkan sosio ekonomi masyarakat tempatan kerana ia merapatkan jurang peniaga dengan pembekal atau pengilang dan kos logistik lebih murah. Sektor pelancongan juga mendapat manfaat kepada rakyat kerana masa perjalanan untuk ke destinasi lebih cepat dan mudah," katanya.

Bagi Rakan Niaga PLUS yang mengusahakan Gerai Curry House di R&R Seremban arah Selatan, Saraswahthy Muniandy, 55, peluang untuk berniaga di gerai diusahakan mendiang suami membolehkannya meneruskan kehidupannya bersama anak.

"Selepas kematian suami, saya terpaksa membesarkan lima anak berusia dari lima hingga 15 tahun. Dengan peluang diberikan PLUS, saya dapat membesarkan anak dan menghantar mereka melanjutkan pelajaran.

"Terima kasih PLUS kerana sentiasa memberi peluang dan membantu dalam perniagaan saya," katanya.

Rakan Niaga PLUS di R&R Ayer Keroh, Chong Chee Heng, 56, berkata PLUS banyak membantu dirinya dari awal memulakan perniagaan sehinggalah kini.

"Ketika mula berniaga, saya tidak ada modal banyak dan hanya mampu beli peti ais saja. Tapi pengurusan PLUS bantu bukan saja sewa yang murah dan bil air serta elektrik percuma tapi juga perkakasan seperti pinggan, sudu, garpu, rak dan banyak lagi.

"Terima kasih banyak-banyak kepada PLUS. Dari saya bujang, berkahwin dan mempunyai anak, PLUS masih memberi peluang kepada saya berniaga. Saya juga mampu membiayai pembelajaran anak dan membeli rumah," katanya.

Sebagai peniaga terawal di R&R Perasing, Nur Akmal Alias, sebelum ini berhadapan kesukaran memperoleh pelanggan kerana lokasi R&R jauh dari jalan besar selain masih tidak dikenali ramai.

"Dulu, saya pernah dapat jualan RM10 sahaja dan hampir putus asa. Namun, dengan dorongan dan bantuan promosi selain potongan sewa 50 peratus diberikan PLUS, saya tekad meneruskan perniagaan Keropok Cap Mutiara yang diwarisi dari keluarga ini.

"Kini, saya lega apabila R&R ini sudah mulai dikunjungi ramai selain mempunyai pelanggan tetap dan mereka yang ingin mendapatkan keropok lekor," katanya yang berhasrat menjadikan gerainya sebagai 'mini pasar payang'.

Sementara itu, Rakan Niaga PLUS di R&R Gunung Semanggol, Zaimah Ahmad Sinin, 49, berkata PLUS tidak hanya menyediakan ruang berniaga dilengkapi kemudahan asas, tetapi turut memberikan bimbingan dalam memajukan perniagaan.

"Dulu, saya mula berniaga di tepi jalan dan tidak punya ilmu dan sistem dalam perniagaan. Namun, selepas diberikan ilmu perniagaan dengan kursus merangkumi pelbagai aspek, perniagaan saya semakin berkembang.

"Selain itu, PLUS juga sentiasa memberikan dorongan kepada peniaga. Jika perniagaan tidak konsisten atau menurun, PLUS akan memberi idea dan menyelesaikan masalah dihadapi.

"Terima kasih yang tak terhingga PLUS. Dengan pendapatan berniaga di R&R ini, saya mampu memiliki rumah sendiri, menyara keluarga dan berkongsi rezeki dengan pekerja dan keluarga ," katanya yang sudah berniaga selama 26 tahun.

Disiarkan pada: September 6, 2020 @ 1:11pm
d