mutakhir

Jenazah kadi JB selamat dikebumi

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Jenazah Kadi daerah Johor Bahru, Mohd Fahami Abd Samad, 45, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mount Austin di sini, 10 pagi, hari ini.

Majlis pengebumian dan bacaan talkin dipimpin Ahli Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Noh Gadot.

Allahyarham meninggalkan isteri, Fauzi Norani Madzlan, 42, dan empat anak berusia 18, 16, 10 dan 3 tahun.

Jenazah Allahyarham sebelum itu tiba di dikediaman keluarganya di Taman Mutiara Rini pada 5.30 pagi dari Rompin, Pahang, sebelum disembahyangkan lebih 1,000 jemaah di Masjid Al-Jawahir Taman Mutiara Rini.

Anak sulung Allahyarham, Amir Fuhaira, 18, berkata, ayahnya sentiasa memberi nasihat kepadanya sebagai anak tunggal lelaki agar bertanggungjawab menjaga keluarga.

Katanya dia terkejut dengan pemergian ayahnya kerana baru bertemu Jumaat lalu sebelum bertolak ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk menyambung pengajian.

"Rasa terkejut, semasa terima panggilan daripada pak cik memaklumkan ayah sudah tiada dan meminta saya segera pulang menaiki kapal terbang.

"Saya dapat rasakan kerana sejak kebelakangan ini arwah selalu cakap Amir sudah besar boleh buat semua sendiri. Malah ketika ibu meminta ayah ke kedai untuk membeli barang, ayah akan minta saya yang pergi.

"Ayah seorang yang tegas, dia selalu pesan kepada kami supaya sentiasa utamakan ibu dari dirinya," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Mount Austin di sini.

Berita berkaitan

Arwah menantu dan pekerja yang baik

Kadi Johor Bahru lemas di Pulau Tioman

Disiarkan pada: September 6, 2020 @ 1:26pm
d