mutakhir

Wanita Rohingya ketuai geng samun ditangkap

Oleh Ruwaida Md Zain

Klang: Polis berjaya memberkas seorang wanita Rohingya dipercayai ketua geng samun tepi jalan dan pecah rumah warga senegaranya, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, tangkapan itu dibuat susulan siasatan ke atas enam ahli kumpulan terbabit yang ditahan sebelum ini.

"Susulan tangkapan tiga lelaki dan tiga perempuan warga Myanmar itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara berjaya menangkap ketua geng samun dikenali Geng Jahan yang diburu sejak minggu lalu.

"Wanita berusia 30 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Homestay Jalan Sri Bayu Pantai Morib.

"Turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun di Taman Ria Jenjarom

"Mereka ditahan sepasukan pegawai dan anggota IPD Klang Utara dibantu pasukan D8 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada 2.30 pagi semalam," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati perempuan yang dipercayai ketua kumpulan terbabit positif dadah jenis Methamphetamine.

Nurulhuda berkata, susulan tangkapan itu, polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Wira warna hitam, surat pajak gadai, beg pelbagai jenama, telefon bimbit pelbagai jenama, kad prabayar dan wang tunai termasuk mata wang asing.

"Wanita Myanmar itu direman empat hari bermula semalam hingga 8 September ini, manakala lelaki berkenaan yang dipercayai memajak sejumlah emas yang dicuri diberi jaminan polis hari ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan," katanya.

Rabu lalu, NSTP melaporkan polis menahan enam warga Myanmar, termasuk tiga wanita, disyaki ahli Geng Jahan yang aktif melakukan jenayah samun serta pecah rumah di sini dan beberapa daerah sekitar.

Jumaat lalu, polis menahan dua suspek di sebuah hotel bajet di bandar Klang, serta merampas sejumlah barang kemas dipercayai hasil kegiatan samun dan pecah rumah.

Polis turut menahan empat lagi suspek di sekitar Klang dan Kuala Langat, selain merampas sejumlah barang kemas sudah dipajak oleh kumpulan berkenaan di dua kedai pajak di Teluk Panglima Garang.

Berita berkaitan

Buru wanita Rohingya ketuai geng samun [METROTV]

Disiarkan pada: September 6, 2020 @ 1:48pm
d