mutakhir

Bebaskan bumi Langkawi dari dadah

Oleh Skuad Khas Harian Metro

Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Langkawi (PPIL) memandang serius masalah dadah yang membelenggu penduduk Langkawi masa kini.

Pengerusinya Ali Selamat berkata, jika gagal ditangani, tempiasnya akan merosakkan masyarakat kerana semua pihak boleh terjebak dengan najis dadah tanpa mengira remaja atau dewasa.

Justeru, katanya, PPIL menggesa pihak berkuasa serius menyiasat serta membanteras sindiket dadah itu.

"PPIL juga tidak menolak kemungkinan besar pihak berkuasa turut terbabit melindungi sindiket dadah di Pulau Langkawi.

"Pihak berkuasa perlu lebih memberi perhatian kepada kakitangan yang terbabit di dalam agensi penguatkuasaan supaya masalah ini dapat dikurangkan seterusnya dihapuskan di bumi Langkawi," katanya dihubungi Harian Metro, hari ini.

Katanya, PPIL akan sentiasa bekerjasama dengan polis khususnya IPD Langkawi untuk menangani masalah dadah di pulau peranginan berkenaan.

Beliau mengulas laporan bersiri pendedahan Skuad Khas Harian Metro berkenaan isu dadah di Langkawi mula disiarkan Khamis lalu dengan tajuk Cengkam Satu Pulau mengisahkan organisasi sindiket didakwa yang mempunyai tokan dipayungi polis.

Pendedahan diteruskan apabila akhbar ini menyiarkan kes meragukan membabitkan kebakaran kediaman Pablo Escobar Langkawi atau Mat Nahar yang juga dikatakan antara tokan yang dilindungi polis.

Turut maut dalam tragedi kebakaran itu adalah isteri dan anak lelaki Pablo Escobar Langkawi berkenaan.

Siri ketiga disiarkan Harian Metro semalam memaparkan antara modus operandi sindiket adalah dadah diseludup dari negara jiran terutama sebab banyak pulau tidak berpenghuni di perairan berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam reaksinya dilaporkan berkata, PDRM mengakui kewujudan kegiatan penagihan dan penjualan dadah di Pulau Langkawi yang dipercayai didalangi anggota polis dan konco-konconya.

Disiarkan pada: September 6, 2020 @ 2:08pm
d