mutakhir

Kapal tangki ditahan berlabuh tanpa kebenaran

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Maritim Malaysia (APMM) Johor menahan sebuah kapal tangki kerana berlabuh tanpa kebenaran di Perairan Tanjung Piai, di sini, semalam.

Pengarah APMM Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal yang berdaftar di Malabo, Equatorial Guinea itu ditahan kapal peronda APMM pada jam 11.44 pagi pada kedudukan 4.1 batu nautika tenggara Tanjung Piai.

"Kapal terbabit membawa muatan kira-kira 80 tan Marine Diesel Oil (MDO) dan ketika diperiksa nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh dalam perairan Malaysia.

"Kapal sepanjang 23 meter itu dikendalikan lima kru termasuk nakhoda (Master) berumur lingkungan 24 hingga 56 tahun yang juga warga Indonesia.

"Kesemua mereka ditahan dengan dua daripada mereka iaitu nakhoda dan seorang kru dibawa ke ibu Pejabat Maritim Malaysia Johor untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nurul Hizam berkata, kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Seksyen 491B(1)(l) iaitu berlabuh tunggu tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia.

Jika didapati bersalah boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

APMM Johor sentiasa meningkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang maritim di perairan Johor menggunakan segala sumber yang ada serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang perairan negara terutama di dalam musim penularan wabak Covid-19.

Sebarang kejadian kecemasan di laut, segera hubungi talian MERS 999 atau MRSC Johor Bahru di talian 07-221 9231, manakala aduan atau maklumat jenayah maritim salurkan kepada Pusat Operasi MN Johor di talian 07-2199404.

Disiarkan pada: September 6, 2020 @ 3:43pm
d