mutakhir

Model baharu urus sungai elak pencemaran

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Kerajaan digesa menjadikan pengurusan sungai termasuk urus tadbir serta program kesedaran dalam kalangan rakyat sebagai model baharu menjaga alam sekitar.

Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) Che Hassan Che Johan berkata, ia perlu bagi memastikan kelestarian alam terpelihara selain tidak berlaku lagi pencemaran sungai yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat.

Katanya, isu kesalahan pemilik kilang yang menyebabkan sungai tercemar itu perlu diadili dengan sebaik mungkin dan diberi pengajaran.

"Itu satu hal. Tetapi yang lebih penting ialah sikap kita terhadap alam sekitar, apatah lagi sungai yang menjadi punca air.

"Ada dua kesan kepada alam sekitar iaitu kesan kepada alam dan hidupan. Banyak yang perlu kita belajar dan perbaiki sikap kita," katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas kejadian pencemaran Sungai Gong di Rawang yang menyebabkan gangguan bekalan air kepada jutaan pengguna di Lembah Klang.

Che Hassan berkata, kurang kesedaran mengenai isu ini bukan perkara baharu, malah pelbagai usaha juga sudah diambil sebelum ini.

Katanya, pembentukan jati diri yang berkesan boleh dimulakan dengan memberi didikan awal kepada anak-anak dengan menyertai program amal pembersihan kawasan awam sebagai bentuk pengajaran.

"Kebelakangan ini ada pihak membandingkan alam sekitar kita dengan Jepun. Itu usaha yang bagus, tetapi kita perlu latihan praktikal dan bukannya teori semata-mata.

"PPMM cadangkan urus tadbir sungai memerlukan anjakan baharu. Bukan hanya perangkap sampah, tetapi kita adakan sukarelawan yang akan meronda sepanjang sungai untuk memastikan tiada sampah dibuang sewenang-wenangnya," katanya.

Disiarkan pada: September 6, 2020 @ 5:21pm
d