mutakhir

62.7 peratus bekalan air pulih

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Pemulihan bekalan air di tujuh wilayah yang terjejas akibat henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang pada khamis lalu kini berada di tahap 62.7 peratus.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, peratusan pemulihan sehingga jam 6.30 petang itu membabitkan 811 kawasan.

"Sehingga jam 6.30 petang tadi, sebanyak 811 kawasan sudah pulih sepenuhnya, manakala 481 kawasan lagi dalam proses pemulihan.

"Secara keseluruhan, 62.7 peratus daripada 1,292 kawasan yang terbabit dengan gangguan bekalan air tidak berjadual ini sudah pulih sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sehingga kini Kuala Selangor sudah mencapai pemulihan 99.2 peratus, Hulu Selangor (94.1%); Gombak (66.4%); Petaling (66.1%); Kuala Langat (50%); Kuala Lumpur (41.3%) serta Shah Alam/Klang dengan 24.2 peratus.

Dalam pada itu katanya, Air Selangor menafikan mesej viral melalui aplikasi WhatsApp dan media sosial mengenai bekalan air akan ditutup semula dan catuan akan dilakukan, serta isu kualiti air yang tidak selamat di premis, yang perlu dibiarkan selama sehari sebelum boleh digunakan.

Katanya, pengguna dinasihatkan supaya tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan-kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor.

"Air Selangor juga memberi jaminan bahawa kualiti bekalan air yang diagihkan kepada pengguna adalah selamat dan menepati piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Disiarkan pada: September 6, 2020 @ 9:17pm
d