mutakhir

Jangan lupa 'backliners' - Dr Rohaizat

Oleh Rosyahaida Abdullah

Kuala Lumpur: Peranan dimainkan barisan belakang (backliners) dalam sama-sama berusaha mengekang penularan Covid-19 di negara ini antara aspek yang tidak harus dilupakan.

Demikian kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Rohaizat Yon sewaktu menceritakan secara ringkas perjalanan dilalui warga KKM dalam menentang virus itu sejak awal tahun ini.

Menurutnya, meskipun barisan hadapan (frontliners) dapat dilihat secara jelas menabur bakti khusus demi melindungi rakyat daripada wabak itu, jasa dan pengorbanan petugas belakang tabir atau 'backliners' tidak kurang hebatnya.

Rohaizat berkata, kakitangan yang terbabit dalam mengumpul dan membekalkan data Covid-19 setiap hari tanpa gagal sejak virus itu merebak juga memainkan peranan sangat besar.

Katanya, semua maklumat terbabit cukup penting untuk membolehkan langkah proaktif diambil kerajaan bagi menurunkan graf kes di Malaysia.

"Setiap hari sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, mesyuarat pertama kami (KKM) bersama menteri adalah seawal jam 7.30 pagi untuk mengemas kini perkembangan Covid-19 bagi hari sebelumnya.

"Ia disusuli dengan mesyuarat bersama Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) pada jam 9 pagi, setiap hari, tiada cuti.

"Dalam hal ini, bayangkan bagaimana barisan belakang misalnya CPRC (Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis) KKM memulakan tugas seawal jam 4 (atau) 5 pagi untuk memastikan data yang tepat dikumpul dan dibentangkan ketika mesyuarat," katanya.

Rohaizat berkata, ada kakitangan KKM yang bertugas sampai ke malam hinggakan tidak sempat menjamah makanan dan tentunya mereka banyak berkorban dalam situasi ini.

Mengulas lanjut, menjelang tempoh setahun kemunculan Covid-19 di Wuhan, China pada bulan depan, KKM bersiap sedia sekiranya wujud gelombang seterusnya membabitkan virus itu.

"Harus diingat, Covid-19 melanda China pada Oktober tahun lalu, sewaktu permulaan kepada musim sejuk di sana sebelum mereka mengumumkan pandemik itu pada Disember.

"Oktober sudah tidak lama dan boleh jadi kes harian yang cuma 100 di negara tertentu meningkat sehingga beribu, ini yang perlu kita ingat dan bersedia terutama membabitkan kes import," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan Penderma Covid-19 St John Ambulans Malaysia (SJAM) di Ibu Pejabat SJAM, Jalan Shelley di sini, hari ini, diiringi Ketua Turus (Gerakan) SJAM, Datuk Yeo Kim Thong.

Sekurang-kurangnya 20 penderma terdiri daripada sektor korporat, pertubuhan dan individu perseorangan diraikan pada majlis itu susulan menghargai jasa mereka yang tampil menyumbang kepada SJAM untuk diagihkan kepada hospital kerajaan di seluruh negara sejak wabak Covid-19 melanda.

Antaranya UMW Toyota Motor Sdn Bhd, Alumni Kejuruteraan Petroleum, Malaysia-China Friendship Association dan Associated Health Products.

"Saya difahamkan SJAM mewujudkan satu 'task force' untuk mengkoordinasi kerja mendapatkan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk diedarkan ke hospital di seluruh negara sepanjang krisis Covid-19 ini.

"Syabas dan terima kasih untuk semua pihak baik SJAM mahupun penderma atas inisiatif ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 6, 2020 @ 10:19pm
    d