mutakhir

308 kilang haram

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Rawang: Sebanyak 308 kilang beroperasi secara haram selepas tidak membuat permohonan beroperasi dari Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Pengarah Jabatan Korporat Majlis Perbandaran Selayang Mohd Zin Masoad berkata, semua 308 pengusaha kilang akan dipanggil Jumaat ini bagi menjalankan aktiviti pemutihan.

"Setakat ini 50 daripada 308 pengusaha kilang ini sudah membuat permohonan terhadap lesen perniagaan mereka namun 258 pengusaha akan dipanggil bagi tujuan mengarahkan mereka memohon kebenaran untuk menjalankan perniagaan.

"Kita akan membuat pemutihan dan sekiranya mereka berdegil tindakan boleh diambil seperti menyita dan merobohkan premis mereka," katanya ketika ditemui selepas Operasi Kilang Haram di sini, hari ini.

Beliau berkata, apabila semua kilang-kilang ini beroperasi secara sah, aktiviti perniagaan mereka akan lebih teratur dan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

"Ini kerana selain lesen dan kebenaran MPS, pengusaha kilang juga perlu mendapat kelulusan untuk beroperasi daripada Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) dan agensi kerajaan yang berkaitan.

"Apabila mereka mendaftar dengan semua agensi kerajaan yang berkaitan maka mereka akan mendapat lebih panduan dan syarat-syarat yang ditetapkan mengenai sebarang aktiviti perniagaan yang dijalankan mereka," katanya.

Menurutnya, MPS juga sudah mempercepatkan sebarang urusan permohonan lesen perniagaan dan tiada sebab untuk mana-mana pengusaha kilang tidak memohon lesen perniagaan.

"Secara kebiasaannya orang hanya pihak yang melakukan kesalahan sahaja yang tidak memohon lesen untuk menjalankan perniagaan mereka.

"Pihak MPS akan terus memantau dan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada terhadap pihak yang tidak mempunyai lesen atau kebenaran untuk menjalankan perniagaan," katanya.

Disiarkan pada: September 7, 2020 @ 1:41pm
d